Monday, November 12, 2007

Pementasan P.Ramlee - SENIMAN AGUNG MELAYU.. Hidup, Cinta dan Inspirasi





Sudah begitu lama tidak bersua dengan pelajar-pelajar sekalian... Maklumlah, sudah pun cuti sekolah. Namun, cikgu sentiasa berharap agar pelajar-pelajar semua melakukan perkara-perkara yang berfaedah di rumah. Jangan asyik termenung kosong sahaja; mengisi masa dengan bersidai di pusat membeli-belah tanpa tujuan. Ingat, malang datang tidak berbau.

Seperti awak semua juga, cikgu juga sempat berehat; menghela nafas panjang apabila tibanya cuti sekolah. Walaupun masih banyak lagi kerja yang belum dapat diselesaikan, ( tugas guru bukan setakat mengajar sahaja ) cikgu sempat ke Kuala Lumpur minggu lalu untuk menyaksikan sebuah pementasan musikal. Pementasan ini berpusar pada kehidupan seorang bintang legenda Melayu yang namanya kekal disebut-sebut hingga zaman kini iaitu tidak lain dan tidak bukan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kepada yang masih terpinga-pinga tentang namanya, P.Ramlee ialah sebenarnya singkatan daripada Ramlee bin Puteh. Nama penuh beliau pula ialah sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh to Teuku Nyak Puteh bin Teuku. Beliau berasal dari Pulau Penang.

Permentasan yang diadakan di Istana Budaya ( ala Esplanade di Singapura ) sungguh gah dan meriah! Antara barisan pelakon handalan yang terlibat dalam pementasan ini termasuk Sean Ghazi sebagai P.Ramlee ( suaranya sungguh menawan hati! ) Liza Hanim sebagai Saloma, Melissa Saila sebagai Norizan ( isteri P.Ramlee yang kedua ), Atilia ( pendatang baru ) sebagai Junaidah ( isteri P.Ramlee yang pertama ) dan yang dinanti-nantikan.... Siti Nurhaliza!! sebagai Azizah (cinta pertama P.Ramlee di Penang ).

Sebenarnya, cikgu pun, seperti awak semua, tidak begitu mengenali seniman agung kita dengan begitu mendalam sekali, walaupun sudah beratus-ratus filem yang telah diusahakannya dan dilakonkannya. Malu dan sedih rasanya tidak mengenali ikon yang telah banyak sekali menyumbang kepada seni lakonan dan perfileman Melayu. Mujurlah, terbuka peluang ini untuk mendekati dan menyelami kehidupan bintang lagenda kita ini, daripada perspektif beberapa ahli-ahli pelakon yang lain.

Tahukah anda bahawa cinta pertama P.Ramlee iaitu Azizah ( yang dilakonkan oleh Siti Nurhaliza ) kekal menjadi misteri hingga ke hari ini? Tiada siapa pun yang mengenali atau mengetahui siapa Azizah itu sebenarnya. Bayangkan kehadiran wanita misteri ini yang menjadi tunggak kejayaan P.Ramlee kerana Azizahlah sumber inspirasi P.Ramlee untuk mencipta lagu dan filemnya. Walaupun terpaksa meninggalkan Azizah untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang seniman, P.Ramlee tidak pernah melupakan beliau. Di saat P.Ramlee merintih kesedihan apabila menghadapi masalah dalam pekerjaannya atau rumah tangganya, Azizahlah yang menjadi kekuatannya.. kecekalannya.. kewarasannya.

Cikgu tidak sangka pementasan 3 jam seolah-olah menjadi kacamata cikgu pada kehidupan Tan Sri P.Ramlee. Dari angan-angannya menjadi seorang seniman pada waktu kecil hinggalah dewasa, matang dengan hal-ehwal kehidupan dan lakonan. Beliau tidak pernah sunyi daripada irama dan lagunya. Di sebalik personalitinya di kaca televisyen yang selalu kelihatan riang dan gembira, ternyata kehidupannya dalam rumah tangga tergugat dengan popularitinya sebagai bintang besar. Isteri-isterinya yang pertama dan kedua terpaksa meninggalkannya kerana tidak dapat menangani kesunyian di hati, pantauan media yang kian merimaskan. Perasaan cemburu yang tidak dapat dikawal.

Begitu banyak lagi cikgu ingin sampaikan kepada awak. Mungkin bila kita bersua nanti di dalam kelas, cikgu boleh berkongsi lagi dan menjawab soalan-soalan awak semua. Telah cikgu muatkan beberapa gambar yang telah diambil. Malangnya, tidak dapat bergambar dengan pelakon-pelakon glamour. Tapi tak apa, insya allah pada pertemuan yang seterusnya akan dijadikan kenyataan. Kepada mereka yang berminat melihat gambar-gambar pementasan yang lain, bolehkan melungsuri ke lelaman fotopages seorang peminat P.Ramlee ini di http://bidarling.fotopages.com/. Klik di P.Ramlee - The Musikal.. Hidup, Cinta dan Inspirasi.

Yang ikhlas,
Cikgu Ruziana
Dikaulah Hidup, Cinta dan Inspirasiku

1 comment:

garfiielD'93 said...

hello=)
waaaaaaaaaaaaaaaa..bestnyer
ader sean ghazi..
suara dier sedapppppp~!!